top of page
PENGENALAN RIJALUL HADIS
Pengenalan Rijalul Hadis: Welcome
Kedatangan Islam dengan Al-Quran dan Hadis telah membuka lembaran baru dalam sejarah ketamadunan manusia dan perkembangan ilmu. Ilmu-ilmu seperti Usul al-Fiqh, Usul Tafsir dan Balaghah yang dihasilkan oleh Islam tidak pernah diketahui sebelum ini. Kemunculan ilmu-ilmu ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menghuraikan dan menjelaskan maksud Al-Quran dan Hadis. Antara ilmu yang muncul ialah Ilmu Rijal Hadis iaitu ilmu yang berkait dengan perawi-perawi yang meriwayatkan hadis-hadis Rasulullah SAW.
Ilmu Rijal Hadis adalah ilmu yang sangat luas. Mengetahuinya adalah mengetahui satu bahagian yang besar dalam ilmu-ilmu Islam. Imam Ali bin al-Madini berkata:
“Kefahaman yang mendalam tentang makna-makna hadis adalah separuh ilmu dan mengenali para perawi adalah separuh ilmu”. (Abu Ghuddah, Lamahat, hal. 80)
Kata-kata Ibn al-Madini jelas menunjukkan betapa tingginya kedudukan ilmu rijal yang sebaris dengan ilmu memahami kandungan hadis. Oleh kerana itu, ulama’ menulis sejumlah kitab yang tidak terhitung banyaknya tentang keadaan para perawi hadis.
Ilmu ini dapat dibahagikan kepada dua:
Pertama, ilmu sejarah perawi.
Kedua, ilmu Jarh wa Ta`dil.
Dalam tulisan ini, penulis akan membincangkan pecahan pertama sahaja yang skopnya itu sangat luas.
Ilmu Tarikh al-Ruwat Atau Sejarah Para Perawi.
Dr. `Ajjaj al-Khatib menyebutkan takrif ilmu ini. Kata beliau, ilmu “Tarikh al-Ruwat” ialah ilmu yang memperkenalkan perawi dari sudut yang berkait dengan periwayatan hadis oleh mereka. Ilmu ini merangkumi biografi dan penjelasan perilaku perawi, tarikh lahir dan wafat, negeri mereka, tarikh mula mendengar hadis, pengembaraan, tarikh ketibaan di sesebuah negeri, guru-guru, perawi lain yang menerima hadis daripadanya dan mendengar hadis dari syeikh yang nyanyuk sebelum atau selepas berlaku nyanyuk." (Usul al-Hadith, hal. 253).
Ilmu ini sama berkembang dengan ilmu hadis. Dari satu sudut, ilmu ini kelihatan sebahagian dari ilmu sejarah. Cuma ia lebih tertumpu kepada perilaku para perawi.
Pengenalan Rijalul Hadis: Text
bottom of page